Articles by "Panitia"

Showing posts with label Panitia. Show all posts

Keaktifan aktiviti sekolah boleh diukur melalui peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seiring dengan keperluan sekolah, guru dan pembangunan pelajar. Di negara ini, ada sekolah yang kelihatan aktif, sederhana aktif atau pasif bersama PIBG. Mengapa begitu? Adakah sekolah terlalu bergantung kepada fungsi PIBG sama ada dari sumber kewangan, profesionalisme pengurusan, kepakaran dan komitmen dalam kalangan ibu bapa? Di mana pula peranan ibu bapa dalam PIBG membantu bagi membangunkan sahsiah sekolah itu sendiri. Soal ini timbul berikutan ada satu soalan jawab lisan harian di Dewan Rakyat minggu lalu daripada seorang Ahli Parlimen yang meminta Kementerian Pendidikan menyatakan langkah yang diambil bagi menggalakkan ibu bapa menghadiri mesyuarat PIBG sekolah demi kepentingan dan tanggungjawab terhadap pendidikan anak. 

Ibu bapa perlu faham bahawa PIBG badan yang sah ditubuhkan sebagai penghubung antara ibu bapa, guru, sekolah, masyarakat dan pelajar. Komitmen, kerjasama dan sumbangan pelbagai pihak berkepentingan seperti masyarakat, ibu bapa, pelajar dan guru amat penting dalam memantapkan kecemerlangan pelajar selaku individu yang mampu menyumbang dan memajukan masyarakat. Pencapaian pelajar lebih bermakna apabila keluarga mereka juga turut berperanan dan membabitkan diri dalam kejayaan anak. Sebarang masalah yang wujud di sekolah boleh diselesaikan sekiranya pihak berkepentingan bekerjasama dengan pihak sekolah. 

Seterusnya masyarakat melalui ibu bapa perlu juga bergerak aktif dan memberi sumbangan termampu bagi mengatasi masalah yang berlaku di sekolah. Sumbangan ibu bapa secara material iaitu sumber kewangan untuk aktiviti dan program yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Sumbangan moral Selain itu, sumbangan moral juga adalah penting bagi mendorong pelajar untuk mencapai kejayaan yang cemerlang. Antara sokongan moral yang boleh diberikan oleh ibu bapa ialah dengan menghadiri Mesyuarat Agung serta memberi pendapat, sentiasa mengambil tahu mengenai anak mereka di sekolah dan memberi sumbangan tenaga melalui permuafakatan daripada aktiviti sekolah seperti kem motivasi dan sebagainya. Kalau ikut sejarahnya, pertubuhan PIBG peringkat sekolah rendah dan menengah adalah hasil pelaksanaan syor berlandaskan Laporan Aziz yang diumumkan pada tahun 1971. Mengikut Akta Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia 1996, tujuan PIBG ditubuhkan adalah mengadakan forum dan perkhidmatan bagi kebajikan dan kemajuan pelajar dalam sekolah dalam meningkatkan imej; membantu dan menambah usaha sekolah memenuhi kehendak dan keperluan kebendaan pelajar dalam kegiatan mereka dan membolehkan ibu bapa dan guru dalam sekolah bertukar fikiran dan maklumat mengenai pendidikan. 

Malahan empat fungsi PIBG untuk menjalankan aktiviti atau program bagi mencapai tujuan persatuan yang dinyatakan di Perenggan 3 Akta Pendidikan 1996 seperti membantu dalam memajukan perkembangan pelajar dan menjaga kebajikan pelajar; menambahkan sumber kewangan sekolah bagi menambah dan meningkatkan kemudahan di sekolah; meningkatkan kemesraan dan menyediakan saluran komunikasi dan hubungan antara sekolah dengan masyarakat serta meningkatkan keceriaan premis sekolah bagi mewujudkan suasana kondusif menjayakan aktiviti dan program pendidikan. Anjakan paradigma Selari dengan mandat terdahulu dan perlunya anjakan paradigma, seperti mana prinsip Kementerian Pendidikan sendiri menerusi Anjakan 9 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 iaitu Bekerjasama dengan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta menyediakan sarana (toolkits) ibu bapa dan sarana sekolah sebagai panduan dan mekanisme kepada ibu bapa untuk berperanan dalam meningkatkan pembelajaran anak. Sarana ini menjadi instrumen ibu bapa menilai tahap pembabitan mereka dalam meningkatkan pembelajaran pelajar. Seterusnya ibu bapa diberikan panduan mendidik anak dengan adanya contoh amalan terbaik. 

Di bawah program sebegini, Biro Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) perlu diwujudkan bagi membantu ibu bapa melalui perkongsian buah fikiran dan menangani setiap isu di bawah struktur PIBG sedia ada. KSIB ialah saluran kerjasama dan komunikasi merapatkan hubungan di antara ibu bapa, pelajar dan sekolah serta lebih banyak interaksi, kerjasama perkongsian dan percambahan ilmu dapat berlaku. Pada era 'new new media' ini, Facebook, Twitter, WhatsApp, Skype, SMS, MMS mahupun video phone komunikasi dapat dijadikan medan penyebaran maklumat antara pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat. Mengikut Internet World Stats bagi negara Asia sehingga 30 Jun 2011, pengguna internet negara ini menjangkau 16,902,600 pengguna berbanding hanya 3,700,000 pada tahun 2000. Sudah tiba masanya Yang Dipertua PIBG, guru besar, guru dan ibu bapa bijak mengaplikasi kekuatan medan komunikasi media baharu sebagai daya tarikan interaktif kepada ibu bapa masa kini demi kelangsungan kecemerlangan dan masa depan anak.

KESEDARAN perlu ada dalam kalangan ibu bapa mengenai pentingnya peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Mereka harus sedar PIBG tidak ditubuhkan begitu sahaja tanpa matlamat yang jelas. Ramai ibu bapa yang tidak mengetahui penubuhan PIBG diperuntukkan di bawah Akta Pendidikan 1961. PIBG menjadi persatuan penting yang mempunyai fungsi dan tanggungjawab tertentu. Pada asasnya PIBG berperanan sebagai rakan kongsi sekolah untuk membantu pembangunan serta kemajuan sekolah dan pelajar. Bagi ibu bapa yang sering menghadiri mesyuarat PIBG pastinya akan merasakan PIBG menjadi saluran dan forum terbaik untuk berbincang dan menyelesaikan masalah, birokrasi dan isu yang timbul berkaitan pembelajaran anak-anak mereka. 

Fungsi PIBG ini akan dapat dilaksanakan dengan baik sekiranya PIBG sesebuah sekolah itu aktif dan mempunyai barisan ahli jawatankuasa yang komited serta mendapat sokongan ibu bapa pelajar. Yang penting dalam mengendalikan PIBG, ia mesti mendukung visi yang selari dengan falsafah pendidikan negara (FDN) dan Dasar Pendidikan Negara (DPN). Selain itu PIBG harus menerapkan gagasan 1Malaysia dan Pelan Integriti Nasional (PIN) sebagai sebahagian daripada objektifnya. Keanggotaan PIBG seperti yang ditetapkan dalam perlembagaan PIBG hendaklah terdiri daripada setiap guru dan ibu bapa yang anak mereka menuntut di sekolah berkenaan. 

Keanggotaan ini sahaja jelas menggambarkan ibu bapa dan guru harus saling berhubungan dan landasan terbaik dalam hal ini ialah melalui PIBG. Maknanya, PIBG menjadi platform terbaik bagi ibu bapa dan guru berinteraksi secara bersemuka untuk berkongsi dan bertukar pendapat serta maklumat mengenai kemajuan dan prestasi akademik pelajar serta perkara-perkara berkaitan disiplin, sahsiah dan akhlak pelajar. Melalui PIBG juga sekolah boleh menyalurkan apa-apa maklumat mengenai pendidikan semasa seperti pelaksanaan pentafsiran berasaskan sekolah dan sebagainya. Ibu bapa juga boleh memberikan cadangan untuk meningkatkan lagi prestasi akademik dan kokurikulum sesebuah sekolah itu. 

PIBG juga boleh memainkan peranan sebagai orang tengah antara guru dan ibu bapa bagi meleraikan sebarang salah faham yang timbul antara kedua-dua belah pihak. Tidak seperti dulu, kebanyakan ibu bapa hari ini lebih percaya aduan anak-anak berbanding fakta sebenar sehingga guru sering kali disalahkan termasuklah soal prestasi akademik dan masalah disiplin dalam kalangan pelajar. Justeru dengan adanya PIBG sebagai orang tengah kemungkinan segala salah faham itu dapat diatasi melalui perbincangan. Barisan kepimpinan dan pengurusan PIBG harus memikul dan melaksanakan tugas dan amanah dengan penuh integriti. Agenda dan misi yang diperjuangkannya mestilah ke arah kebaikan kepada pembangunan sekolah dan masa depan pelajar. PIBG tidak sepatutnya dijadikan platform politik ataupun medan untuk mengejar nama dan pangkat. Perkara penting yang mesti diutamakan adalah membantu sekolah melahirkan generasi pelajar yang berkualiti, bersepadu dan seimbang serta memiliki jati diri yang kukuh. 

Dalam konteks hari ini, keupayaan PIBG untuk menghubungkan sekolah dengan masyarakat amat penting dan memberikan banyak manfaat kepada sekolah. Contoh, keupayaan PIBG menjadikan sekolah sebagai sekolah angkat kepada badan-badan korporat akan memberi kelebihan kepadanya untuk mendapatkan sumbangan dalam melaksanakan aktiviti dan membantu melengkapkan prasarana keperluan fizikal sekolah dan murid seperti projek makmal komputer, siber kafe pelajar, pusat sumber atau perpustakaan yang lengkap, kemudahan sukan dan rekreasi dan lain-lain lagi. PIBG yang berkesan sudah semestinya dapat membantu sekolah mempertingkatkan kejayaan pelajar di dalam peperiksaan yang diduduki. 

Keupayaan PIBG membantu sekolah meningkatkan kecemerlangan akademik akan dapat menaikkan nama, imej dan identiti sekolah terbabit. Jika mampu, PIBG boleh pergi lebih jauh lagi dengan mengadakan jaringan dan kerjasama pintar dengan institusi pendidikan terbaik dan cemerlang tempatan dan luar negara. PIBG juga perlu membantu sekolah menangani masalah sosial pelajar sekolah seperti masalah merokok, penagihan dadah, membuli, pornografi dan pelbagai bentuk jenayah lain supaya ia tidak menjadi barah dalam sesebuah sekolah itu dan dunia pendidikan amnya. Program seperti seminar dan kem motivasi untuk pelajar di setiap sekolah adalah program yang boleh dilaksanakan PIBG kerana dapat memberi kesedaran dan semangat kepada pelajar untuk terus belajar dan berjaya. Ia sekali gus dapat mengurangkan gejala salah laku pelajar, di samping dapat melahirkan generasi muda yang berdisplin dan bersahsiah tinggi. 

PIBG di peringkat kebangsaan pula boleh mengusulkan atau mengemukakan satu pelan bertindak yang realistik dan komprehensif kepada kementerian terbabit untuk menambah baik atau membetulkan apa-apa ketempangan dalam hal mengenai pendidikan. Apa pun kejayaan PIBG itu terletak kepada sokongan padu ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa tidak sepatutnya memandang remeh terhadap mesyuarat PIBG yang diadakan di sekolah anak-anak mereka belajar. Ibu bapa harus sedar bahawa mesyuarat PIBG diadakan bertujuan menambah baik sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P) di peringkat sekolah, di samping mempertingkatkan sistem pengurusan dan pentadbiran sekolah. 

Kesimpulan, peranan PIBG semakin mencabar terutama dalam usaha membantu kerajaan menjayakan program transformasi pendidikan nasional. Justeru, perlu ada inisiatif di peringkat nasional untuk meletakkan satu piawaian dan penanda aras yang dapat mengukur pencapaian PIBG dalam membantu pihak sekolah meningkatkan kecemerlangan sekolah sama ada dari segi prestasi akademik, kokurikulum dan juga prasarana sekolah. Sebagai galakan dan penghargaan, kerajaan melalui kementerian terbabit perlu menyediakan insentif tertentu kepada PIBG yang berjaya mencapai piawaian dan penanda aras yang ditetapkan. Penulis adalah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia. 

SATU penyakit yang menghantui remaja sekarang adalah sikap putus asa atau cepat mengalah. Apabila gagal dalam percubaan pertama, sudah mengangkat bendera putih tanda sudah kalah. Sebagai contoh keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini yang gagal memperoleh sebarang A, mereka sudah merasakan diri lemah, dilahirkan sebagai orang yang tidak bijak dan tidak mahu berusaha untuk peperiksaan akan datang lantas menyerahkan kepada takdir. Sikap ini harus dijauhi oleh remaja. Islam mengajar umatnya agar tekun berusaha dan selebihnya bertawakal kepada Allah SWT. Namun Islam tidak menganjurkan umatnya berputus asa dan hanya mengharapkan maghfirah daripada Allah SWT semata-mata. 

Selain sikap berputus asa, sikap malas juga melanda remaja. Sikap malas ini pastinya adalah musuh bagi orang yang berjaya. Sikap ini boleh dibahagikan kepada tiga iaitu, malas mendengar, malas berfikir dan malas bertindak. Malas mendengar nasihat orang lain, malas mendengar apa yang guru ajar di sekolah, malas mendengar ceramah-ceramah agama di masjid, malas mendengar perkara-perkara yang baik dan malas untuk berfikir hatta pada perkara yang mudah. Remaja yang sudah berpu­tus asa seringkali me­nyerahkan kepada nasib dan takdir. Hakikatnya sindrom inilah akan memandulkan otak remaja dari-
pada berfikiran kreatif, inovatif dan berwawasan. Profesor Datuk Dr. Syed Hussien Alatas ada menulis dalam bukunya The Captive Mind menyebut tentang sikap ‘bebalisme’. Bebalisme ini bukannya merujuk kepada bodoh, bangang atau apa jua menunjukkan kebingungan tetapi sindrom malas berfikir dalam kalangan remaja yang perlu diatasi supaya mereka bertindak lebih kreatif, berfikiran kritis dan inovatif dalam mencapai matlamat hidup. Malas berfikir dan bertindak ini turut dipengaruhi suasana pergaulan. 

Suasana pergaulan yang tidak dibatasi oleh syariat akan mengheret remaja ke kancah gejala sosial. Pengaruh rakan sebaya dalam kehidupan remaja mempunyai kesan dalam me­ngubah hidup seseorang remaja. Apabila tersilap langkah dengan memilih kawan yang rosak, tidak mustahil remaja tersebut juga terikut-ikut jejak langkahnya. Maka cubalah sebolehnya remaja dapat memilih rakan yang baik, yang soleh yang boleh memandu kepada jalan kebenaran. Sebagaimana firman Allah SWT: “Sesungguhnya inilah jalan-Ku yang lurus, maka hendaklah kamu ikutinya dan janganlah mengikuti jalan-jalan lain, kelak akan porak-peranda kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan kepadamu agar bertakwa.” (Al-An’am, 6:153) Justeru, apakah yang perlu dilakukan untuk menjadi remaja mithali seterusnya berjaya dalam hidup? Pertama pemikiran dan minda remaja perlu dicorakkan bagi memastikan kelangsungan pembangunan dan kemajuan negara. Kapasiti intelektual mereka perlu dijana sepenuh­nya. 

Dalam membentuk model mithali remaja, anjakan paradigma diperlukan bagi membolehkan mereka memahami, menghayati dan mengamalkan kepentingan serta ketinggian falsafah ilmu. Budaya pembelajaran sepanjang hayat, cintakan ilmu dan budaya iqra’ yang melibatkan proses mental yang tinggi hendaklah disemaikan ke dalam minda remaja yang adalah pewaris kebanggaan bangsa dan agama. Begitu juga dengan masa remaja sepatutnya mereka sebanyak mungkin mencari pengalaman untuk persediaan menempuh dunia yang lebih mencabar. Dunia hari ini tidak mempertaruhkan keperkasaan tetapi ketajaman fikiran untuk menentukan untung nasib seseorang. Tumpukan sepenuh perhatian kepada pengajian dan sentiasa mempertingkatkan kemahiran insaniah seperti cara berkomunikasi dengan penuh beradab dan membina sahsiah diri yang terpuji. Imam Syafie R.A ada menyatakan bahawa: “Kamu tidak akan memperoleh ilmu kecuali dengan enam syarat: kecerdasan, semangat waja, rajin dan tabah, berkemam­puan, bersahabat dengan guru dan waktu yang lama.” Selain itu, keutuhan dalam aspek kerohanian juga perlu diberi perhatian. Ketajaman minda sahaja tidak cukup tanpa dipandu oleh nilai-nilai sahsiah agama yang dapat mendidik jiwa dan memandu remaja menjadi insan ­berakhlak. Pembangunan intelektual yang tidak diiringi dengan kekudusan rohani akhirnya akan melahirkan robot-robot yang begitu bijak di dalam menganalisis segala pengkajian dan maklumat tetapi realiti kosong jiwanya. Sabda Rasulullah: ”Sesempurna keimanan dalam kala­ngan kamu ialah mereka yang indah akhlaknya.” 

Ironinya, bekalan terbaik buat remaja untuk menjadi individu mithali dan contoh cemerlang di dunia dan gemilang di akhirat adalah kepercayaan dan kepatuhan kepada Yang Maha Pencipta. Ini selaras dengan nasihat Luqman al-Hakim yang adalah mutiara berharga untuk dijadikan pusaka bermakna dalam kehidupan insan. Katanya, “Sesungguhnya kehidupan kita ini ibarat sebuah kapal yang belayar di lautan dalam dan telah ramai manusia yang karam di dalamnya. Jika kita ingin selamat maka belayarlah dengan kapal yang bernama takwa, muatannya iman sedang layarnya pula adalah tawakal kepada Allah SWT.” Oleh itu, jati diri adalah benteng pertahanan kepada diri remaja. Benteng ini dibina daripada asas akidah yang mentauhidkan Allah dan Rasul. Apabila robohnya benteng pertahanan dalam diri remaja, sudah tentu ia akan mudah terpengaruh dengan dakyah dan ancaman daripada pihak yang sedang berusaha memesongkan akidah pegangan kepercayaan terhadap Islam. Justeru, tidak hairanlah ada dalam kalangan remaja Islam telah hilang keyakinan dan keimanan mereka kepada Islam. Kita tidak mahu remaja kita longlai, lembab tidak bermaya tetapi kita mahu lahirnya remaja yang bersemangat waja, berwawasan dan sihat. 

Sebagai remaja berpotensi mereka harus menjauhi penyakit malas, mudah berputus asa, cepat mengalah dan perkara-perkara yang boleh merosakkan tubuh badan dan sebagainya. PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). 

KUALA LUMPUR 30 Nov. – Modul Program Permata Negara (Permata) perlu diserap ke dalam sistem prasekolah dan sekolah kebangsaan dalam membangunkan modal insan cemerlang negara pada masa depan. Wakil Wanita UMNO Perak, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin berkata, ini kerana modul pendidikan Permata diyakini dan berjaya melahirkan pelajar cemerlang dari peringkat paling asas. “Permata yang diasaskan isteri Presiden UMNO, Datin Seri Rosmah Mansor dilihat amat berkesan dan merupakan satu pendekatan perkembangan diri yang sungguh menakjubkan. 

“Atas keberkesanan itu, kita berasakan program Permata harus diserap ke peringkat prasekolah dan sekolah kebangsaan kerana ia meliputi stimulasi minda, agama dan bakat kanak-kanak,” katanya. Beliau yang juga Ketua Wa­nita UMNO Bahagian Pasir Salak berucap membahaskan usul pendidikan, agama dan sosial pada Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO 2016 di sini hari ini. Dalam pada itu, Wan Norashikin juga mencadangkan kerajaan menambah pengambilan tenaga kerja dalam sektor kesihatan di samping mempelbagaikan peluang pekerjaan graduan kedoktoran, farmasi, pergigian dan pendidikan. Menurut beliau, usaha itu bagi menggalakkan graduan kedoktoran memulakan perniagaan atau klinik sendiri. “Sebagai contoh, dalam kawasan bandar pesakit hanya perlu mendapatkan khidmat konsultasi dengan doktor hospital kerajaan dan ubat-ubatan boleh diperoleh di farmasi berdaftar. Dengan cara ini secara tidak langsung dapat mengurangkan beban kerja dan kesesakan di hospital kerajaan,” katanya. 

PERMATANG PAUH 30 Nov. – Kejayaan Sekolah Kebangsaan Seberang Jaya (SKSJ) di sini yang menjadi perintis kepada kelas pembelajaran abad ke-21 (PA 21st) di Pulau Pinang menarik minat delegasi Persidangan Antarabangsa Mengenai Pembelajaran dan Pembangunan Guru semalam.

Lebih 30 peserta persidangan itu dari 16 buah negara melakukan lawatan ke SKSJ bagi melihat sendiri proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang dilaksana­kan sejak awal tahun ini.

Menurut Pegawai Bahasa Pe­jabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah Rohaida Omar, SKSJ telah berjaya menjalankan konsep itu melalui susun atur kelas serta sistem pengajaran berpusat tahun ini.

“Itulah sebabnya kita pilih sekolah ini untuk dilawati oleh peserta persidangan agar mereka mendapat idea mengenai PA 21st dan dapat diimplementasikan di negara mereka selepas ini.

“Di Pulau Pinang sendiri, kita a­kan perluaskan PA 21st ini ke seluruh negeri tahun hadapan bagi membolehkan murid-murid terlibat aktif dengan proses P&P di dalam kelas," katanya.

Tambahnya, PA 21st memboleh­kan murid-murid memiliki inte­raksi dua hala dengan guru serta memberi lebih kerjasama di dalam kelas.Sementara itu, Guru Besar SKSJ, Norsiah Baharom berkata, beliau amat teruja dengan lawatan itu kerana memberi lebih keyakinan kepada warga sekolah untuk memantapkan lagi P&P.

“PA 21st juga memberi ruang autonomi pembelajaran yang diselarikan antara pembelajaran secara fizikal dan maya serta menggalakkan perbincangan antara murid. “Antara kaedah yang kami perkenalkan di sini adalah 'lampu isyarat' iaitu murid menunjukkan tanda hijau apabila faham dan merah sekiranya tidak faham tentang sesuatu subjek.

“Selain itu kita juga gunakan kaedah 'parking lot' untuk membolehkan murid bertanya soalan dengan guru atau menerima arahan tentang sesuatu tugasan," ujarnya.

BUTIRAN PROGRAM 

Masa : 9.30 am - 12.30 pm 
Tarikh : 23 Mei 2015 
Hari : Sabtu 
Tempat : Dewan SK (P) Methodist Ipoh 

PENGENALAN PROGRAM ABAKUS 
Abakus dinyatakan dalam Kokurikulum Matematik Sekolah Rendah. Abakus merupakan satu alat untuk menguasai kemahiran mengira. Menggunakan abakus sebagai model konsep untuk menguasai kefahaman nombor bulat, menambah dan mengira. Penggunaan pengiraan abakus adalah satu model Matematik untuk murid menguasai pengiraan secara aritmetik mental. Menggalakkan murid-murid mengira dengan pantas dengan menggunakan aritmetik mental. 

MATLAMAT PROGRAM ABAKUS 
Program ini bertujuan membolehkan murid-murid sekolah rendah menguasai pengiraan secara mental. Model pengiraan abakus adalah asas pengembangan pengiraan secara mental. Murid-murid akan bersaing sesama sendiri untuk menguji keupayaan menjawab soalan abakus dengan pantas dan tepat.

Author Name

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.