Latest Post

Keaktifan aktiviti sekolah boleh diukur melalui peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seiring dengan keperluan sekolah, guru dan pembangunan pelajar. Di negara ini, ada sekolah yang kelihatan aktif, sederhana aktif atau pasif bersama PIBG. Mengapa begitu? Adakah sekolah terlalu bergantung kepada fungsi PIBG sama ada dari sumber kewangan, profesionalisme pengurusan, kepakaran dan komitmen dalam kalangan ibu bapa? Di mana pula peranan ibu bapa dalam PIBG membantu bagi membangunkan sahsiah sekolah itu sendiri. Soal ini timbul berikutan ada satu soalan jawab lisan harian di Dewan Rakyat minggu lalu daripada seorang Ahli Parlimen yang meminta Kementerian Pendidikan menyatakan langkah yang diambil bagi menggalakkan ibu bapa menghadiri mesyuarat PIBG sekolah demi kepentingan dan tanggungjawab terhadap pendidikan anak. 

Ibu bapa perlu faham bahawa PIBG badan yang sah ditubuhkan sebagai penghubung antara ibu bapa, guru, sekolah, masyarakat dan pelajar. Komitmen, kerjasama dan sumbangan pelbagai pihak berkepentingan seperti masyarakat, ibu bapa, pelajar dan guru amat penting dalam memantapkan kecemerlangan pelajar selaku individu yang mampu menyumbang dan memajukan masyarakat. Pencapaian pelajar lebih bermakna apabila keluarga mereka juga turut berperanan dan membabitkan diri dalam kejayaan anak. Sebarang masalah yang wujud di sekolah boleh diselesaikan sekiranya pihak berkepentingan bekerjasama dengan pihak sekolah. 

Seterusnya masyarakat melalui ibu bapa perlu juga bergerak aktif dan memberi sumbangan termampu bagi mengatasi masalah yang berlaku di sekolah. Sumbangan ibu bapa secara material iaitu sumber kewangan untuk aktiviti dan program yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Sumbangan moral Selain itu, sumbangan moral juga adalah penting bagi mendorong pelajar untuk mencapai kejayaan yang cemerlang. Antara sokongan moral yang boleh diberikan oleh ibu bapa ialah dengan menghadiri Mesyuarat Agung serta memberi pendapat, sentiasa mengambil tahu mengenai anak mereka di sekolah dan memberi sumbangan tenaga melalui permuafakatan daripada aktiviti sekolah seperti kem motivasi dan sebagainya. Kalau ikut sejarahnya, pertubuhan PIBG peringkat sekolah rendah dan menengah adalah hasil pelaksanaan syor berlandaskan Laporan Aziz yang diumumkan pada tahun 1971. Mengikut Akta Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia 1996, tujuan PIBG ditubuhkan adalah mengadakan forum dan perkhidmatan bagi kebajikan dan kemajuan pelajar dalam sekolah dalam meningkatkan imej; membantu dan menambah usaha sekolah memenuhi kehendak dan keperluan kebendaan pelajar dalam kegiatan mereka dan membolehkan ibu bapa dan guru dalam sekolah bertukar fikiran dan maklumat mengenai pendidikan. 

Malahan empat fungsi PIBG untuk menjalankan aktiviti atau program bagi mencapai tujuan persatuan yang dinyatakan di Perenggan 3 Akta Pendidikan 1996 seperti membantu dalam memajukan perkembangan pelajar dan menjaga kebajikan pelajar; menambahkan sumber kewangan sekolah bagi menambah dan meningkatkan kemudahan di sekolah; meningkatkan kemesraan dan menyediakan saluran komunikasi dan hubungan antara sekolah dengan masyarakat serta meningkatkan keceriaan premis sekolah bagi mewujudkan suasana kondusif menjayakan aktiviti dan program pendidikan. Anjakan paradigma Selari dengan mandat terdahulu dan perlunya anjakan paradigma, seperti mana prinsip Kementerian Pendidikan sendiri menerusi Anjakan 9 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 iaitu Bekerjasama dengan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta menyediakan sarana (toolkits) ibu bapa dan sarana sekolah sebagai panduan dan mekanisme kepada ibu bapa untuk berperanan dalam meningkatkan pembelajaran anak. Sarana ini menjadi instrumen ibu bapa menilai tahap pembabitan mereka dalam meningkatkan pembelajaran pelajar. Seterusnya ibu bapa diberikan panduan mendidik anak dengan adanya contoh amalan terbaik. 

Di bawah program sebegini, Biro Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) perlu diwujudkan bagi membantu ibu bapa melalui perkongsian buah fikiran dan menangani setiap isu di bawah struktur PIBG sedia ada. KSIB ialah saluran kerjasama dan komunikasi merapatkan hubungan di antara ibu bapa, pelajar dan sekolah serta lebih banyak interaksi, kerjasama perkongsian dan percambahan ilmu dapat berlaku. Pada era 'new new media' ini, Facebook, Twitter, WhatsApp, Skype, SMS, MMS mahupun video phone komunikasi dapat dijadikan medan penyebaran maklumat antara pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat. Mengikut Internet World Stats bagi negara Asia sehingga 30 Jun 2011, pengguna internet negara ini menjangkau 16,902,600 pengguna berbanding hanya 3,700,000 pada tahun 2000. Sudah tiba masanya Yang Dipertua PIBG, guru besar, guru dan ibu bapa bijak mengaplikasi kekuatan medan komunikasi media baharu sebagai daya tarikan interaktif kepada ibu bapa masa kini demi kelangsungan kecemerlangan dan masa depan anak.


Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) merupakan antara mekanisme penting dalam mewujudkan pendidikan yang berkualiti di sekolah. Menerusi PIBG, banyak program dan langkah boleh diatur dalam mengatasi pelbagai kekangan yang boleh mencacatkan iklim pengajaran dan pembelajaran di sesebuah sekolah. Salah satu peranan yang boleh dimainkan oleh PIBG adalah sebagai orang tengah antara guru dan ibu bapa. Banyak salah faham yang timbul antara kedua-dua belah pihak apabila berlakunya kejadian salah laku di kalangan pelajar. 

Kebanyakan ibu bapa lebih percaya akan kata-kata dan acuman anak-anak berbanding fakta sebenar daripada pihak guru. Bertolak dari situlah mereka mulai memandang serong kepada guru. Guru sering kali disalahkan untuk segala yang berlaku di sekolah. Ini termasuklah soal prestasi akademik dan masalah disiplin di kalangan pelajar. Ekoran itu, mereka mulai memulaukan sekolah dan mendendami guru tertentu. Namun dengan inisiatif PIBG, semua bentuk salah faham ini boleh diuraikan. Perbincangan yang lebih kerap, selain mesyuarat tahunan PIBG mampu menjernihkan suasana.. Hasilnya, situasi pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar. Selain itu, PIBG sebagai sebuah organisasi yang berwibawa boleh menubuhkan tabung pendidikan untuk para pelajar di sesebuah sekolah. Tabung ini boleh diisi bukan sahaja menerusi sumbangan ahli persatuan bahkan juga oleh ahli korporat dan individu tertentu. Dana yang terkumpul ini boleh digunakan untuk kebajikan dan manfaat sekolah dan para pelajar. 

Ini termasuklah sumbangan kepada pelajar miskin, yatim dan ditimpa kemalangan. Dengan dana yang ada, prasarana pendidikan di sekolah dapat ditambah dan ditingkatkan. Hasilnya, para pelajar dan warga sekolah amnya dapat memaksimunkan tenaga ke arah kecemerlangan dalam pendidikan dan sekali gus merealisasikan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan (STKP) yang dicita-citakan. Di samping itu, PIBG juga boleh mengadakan seminar dan kem motivasi untuk para pelajar di setiap sekolah. Program seperti ini penting demi memberi kesedaran dan semangat kepada pelajar untuk terus belajar dan berjaya. Pelajar yang bermasalah pula boleh disedarkan menerusi kem bina semangat dan kaunseling. Dengan langkah ini, mereka diharapkan akan berasa insaf dan kembali bersaing dengan rakan-rakan dalam pelajaran. Ekoran itu, kita bukan sahaja dapat mengurangkan gejala salah laku atau meningkatkan prestasi akademik pelajar, malahan sekolah akan dapat melahirkan generasi muda yang bersahsiah tinggi. Peranan lain yang boleh dimainkan oleh PIBG adalah sebagai pemantau dan penilai terhadap perjalanan sekolah. 

Dengan kata lain, ahli PIBG boleh berfungsi sebagai penilai terhadap prestasi sekolah sama ada dalam hal-hal akademik mahupun kokurikulum. Susulan daripada itu, perbincangan boleh diadakan dari semasa ke semasa dengan pihak sekolah demi mengatasi sebarang kelemahan dan masalah yang dihadapi. Di samping itu, pihak persatuan juga boleh berfungsi sebagai penjamin atau penyelamat kepada guru sewaktu menjalankan tugas di sekolah. Hal ini wajar dilakukan kerana ramai kalangan guru berasa tertekan dan terancam apabila menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik. Kejadian memukul, mengancam, memusnahkan kereta dan membakar rumah guru merupakan gejala yang boleh mematahkan semangat guru. Tindakan PIBG membela nasib guru yang menjulang amanah ini akan menjadikan mereka lebih bersemangat dan selesa ketika bertugas. 

Ini secara tidak langsung dapat membantu sekolah meningkatkan pencapaian dalam semua bidang. Akhir sekali, PIBG boleh juga mengadakan beberapa sesi gotong-royong di sekolah, misalnya gotong-royong menyiapkan bangunan tambahan, membina Taman Sains sekolah dan sebagainya. Gotong-royong yang diadakan ini bukan sahaja akan dapat merapatkan hubungan antara ibu bapa dan pelajar, malahan juga dengan guru di sekolah. Hubungan yang mesra ini mampu melenyapkan prasangka antara ibu bapa dengan guru. Hasilnya, akan wujud kerjasama lain antara mereka. 

Dengan itu, segala bentuk program yang dirancang oleh sekolah akan berjalan dengan lancar. Ini sudah pasti membantu sekolah melahirkan lebih ramai pelaj ar yang berkualiti pada masa hadapan. Sesungguhnya PIBG dan sekolah ibarat ‘aur dengan tebing’ yang perlu saling membantu. Dengan kerjasama erat kedua-dua pihak sahaja kualiti pendidikan di sekolah dapat ditingkatkan.

KESEDARAN perlu ada dalam kalangan ibu bapa mengenai pentingnya peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Mereka harus sedar PIBG tidak ditubuhkan begitu sahaja tanpa matlamat yang jelas. Ramai ibu bapa yang tidak mengetahui penubuhan PIBG diperuntukkan di bawah Akta Pendidikan 1961. PIBG menjadi persatuan penting yang mempunyai fungsi dan tanggungjawab tertentu. Pada asasnya PIBG berperanan sebagai rakan kongsi sekolah untuk membantu pembangunan serta kemajuan sekolah dan pelajar. Bagi ibu bapa yang sering menghadiri mesyuarat PIBG pastinya akan merasakan PIBG menjadi saluran dan forum terbaik untuk berbincang dan menyelesaikan masalah, birokrasi dan isu yang timbul berkaitan pembelajaran anak-anak mereka. 

Fungsi PIBG ini akan dapat dilaksanakan dengan baik sekiranya PIBG sesebuah sekolah itu aktif dan mempunyai barisan ahli jawatankuasa yang komited serta mendapat sokongan ibu bapa pelajar. Yang penting dalam mengendalikan PIBG, ia mesti mendukung visi yang selari dengan falsafah pendidikan negara (FDN) dan Dasar Pendidikan Negara (DPN). Selain itu PIBG harus menerapkan gagasan 1Malaysia dan Pelan Integriti Nasional (PIN) sebagai sebahagian daripada objektifnya. Keanggotaan PIBG seperti yang ditetapkan dalam perlembagaan PIBG hendaklah terdiri daripada setiap guru dan ibu bapa yang anak mereka menuntut di sekolah berkenaan. 

Keanggotaan ini sahaja jelas menggambarkan ibu bapa dan guru harus saling berhubungan dan landasan terbaik dalam hal ini ialah melalui PIBG. Maknanya, PIBG menjadi platform terbaik bagi ibu bapa dan guru berinteraksi secara bersemuka untuk berkongsi dan bertukar pendapat serta maklumat mengenai kemajuan dan prestasi akademik pelajar serta perkara-perkara berkaitan disiplin, sahsiah dan akhlak pelajar. Melalui PIBG juga sekolah boleh menyalurkan apa-apa maklumat mengenai pendidikan semasa seperti pelaksanaan pentafsiran berasaskan sekolah dan sebagainya. Ibu bapa juga boleh memberikan cadangan untuk meningkatkan lagi prestasi akademik dan kokurikulum sesebuah sekolah itu. 

PIBG juga boleh memainkan peranan sebagai orang tengah antara guru dan ibu bapa bagi meleraikan sebarang salah faham yang timbul antara kedua-dua belah pihak. Tidak seperti dulu, kebanyakan ibu bapa hari ini lebih percaya aduan anak-anak berbanding fakta sebenar sehingga guru sering kali disalahkan termasuklah soal prestasi akademik dan masalah disiplin dalam kalangan pelajar. Justeru dengan adanya PIBG sebagai orang tengah kemungkinan segala salah faham itu dapat diatasi melalui perbincangan. Barisan kepimpinan dan pengurusan PIBG harus memikul dan melaksanakan tugas dan amanah dengan penuh integriti. Agenda dan misi yang diperjuangkannya mestilah ke arah kebaikan kepada pembangunan sekolah dan masa depan pelajar. PIBG tidak sepatutnya dijadikan platform politik ataupun medan untuk mengejar nama dan pangkat. Perkara penting yang mesti diutamakan adalah membantu sekolah melahirkan generasi pelajar yang berkualiti, bersepadu dan seimbang serta memiliki jati diri yang kukuh. 

Dalam konteks hari ini, keupayaan PIBG untuk menghubungkan sekolah dengan masyarakat amat penting dan memberikan banyak manfaat kepada sekolah. Contoh, keupayaan PIBG menjadikan sekolah sebagai sekolah angkat kepada badan-badan korporat akan memberi kelebihan kepadanya untuk mendapatkan sumbangan dalam melaksanakan aktiviti dan membantu melengkapkan prasarana keperluan fizikal sekolah dan murid seperti projek makmal komputer, siber kafe pelajar, pusat sumber atau perpustakaan yang lengkap, kemudahan sukan dan rekreasi dan lain-lain lagi. PIBG yang berkesan sudah semestinya dapat membantu sekolah mempertingkatkan kejayaan pelajar di dalam peperiksaan yang diduduki. 

Keupayaan PIBG membantu sekolah meningkatkan kecemerlangan akademik akan dapat menaikkan nama, imej dan identiti sekolah terbabit. Jika mampu, PIBG boleh pergi lebih jauh lagi dengan mengadakan jaringan dan kerjasama pintar dengan institusi pendidikan terbaik dan cemerlang tempatan dan luar negara. PIBG juga perlu membantu sekolah menangani masalah sosial pelajar sekolah seperti masalah merokok, penagihan dadah, membuli, pornografi dan pelbagai bentuk jenayah lain supaya ia tidak menjadi barah dalam sesebuah sekolah itu dan dunia pendidikan amnya. Program seperti seminar dan kem motivasi untuk pelajar di setiap sekolah adalah program yang boleh dilaksanakan PIBG kerana dapat memberi kesedaran dan semangat kepada pelajar untuk terus belajar dan berjaya. Ia sekali gus dapat mengurangkan gejala salah laku pelajar, di samping dapat melahirkan generasi muda yang berdisplin dan bersahsiah tinggi. 

PIBG di peringkat kebangsaan pula boleh mengusulkan atau mengemukakan satu pelan bertindak yang realistik dan komprehensif kepada kementerian terbabit untuk menambah baik atau membetulkan apa-apa ketempangan dalam hal mengenai pendidikan. Apa pun kejayaan PIBG itu terletak kepada sokongan padu ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa tidak sepatutnya memandang remeh terhadap mesyuarat PIBG yang diadakan di sekolah anak-anak mereka belajar. Ibu bapa harus sedar bahawa mesyuarat PIBG diadakan bertujuan menambah baik sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P) di peringkat sekolah, di samping mempertingkatkan sistem pengurusan dan pentadbiran sekolah. 

Kesimpulan, peranan PIBG semakin mencabar terutama dalam usaha membantu kerajaan menjayakan program transformasi pendidikan nasional. Justeru, perlu ada inisiatif di peringkat nasional untuk meletakkan satu piawaian dan penanda aras yang dapat mengukur pencapaian PIBG dalam membantu pihak sekolah meningkatkan kecemerlangan sekolah sama ada dari segi prestasi akademik, kokurikulum dan juga prasarana sekolah. Sebagai galakan dan penghargaan, kerajaan melalui kementerian terbabit perlu menyediakan insentif tertentu kepada PIBG yang berjaya mencapai piawaian dan penanda aras yang ditetapkan. Penulis adalah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia. 

PUTRAJAYA 23 Nov. – Majlis Amanah Rakyat (Mara) melonggarkan syarat kemasukan ke tingkatan satu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi tahun hadapan dengan menetapkan keputusan sekurang-kurangnya 3A, 3B bagi calon Semenanjung dan minimum 3A, 2B, 1C bagi calon di Sabah dan Sarawak Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, syarat kemasukan baharu itu dibuat selaras dengan pengumuman keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) oleh Kementerian Pendidikan baru-baru ini. 

“Walaupun syarat ini dilonggarkan, kita masih memberi ke­utamaan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di luar bandar dan bandar serta calon-calon yang bergiat aktif dalam bidang kepimpinan, kokurikulum dan sukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Menurut Ismail Sabri, ke­utamaan diberikan kepada golo­ngan tersebut sebagai salah satu usaha pihaknya untuk membasmi kemiskinan di samping memacu usaha membandarkan luar bandar. Katanya, langkah itu juga selaras dengan matlamat penubuhan MRSM yang bukan sekadar menyediakan peluang pendidikan tetapi merupakan agen perubahan sosio ekonomi penduduk luar bandar melalui pendidikan berkualiti. 

Penggunaan akhbar pendidikan Utusan Malaysia, Tutor memberi impak positif kepada 289 sekolah kebangsaan di Sabah dalam keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini. Sekolah terbabit menggunakan Tutor UPSR dan Tutor English dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi memantapkan persediaan calon sejak awal tahun Di Kota Kinabalu, dua calon UPSR Sekolah Kebangsaan (SK) Tansau, 

Nur Ain Sukriman dan Farhah Nadhirah Abdul Rahim memperoleh 6A manakala SK Puun Tunoh pula mencatatkan kelulusan 100 peratus. Daerah Kundasang pula merekodkan sembilan murid memperoleh keputusan 3A, 4A, 5A dan 6A di samping SK Tarawas me­raih keputusan lulus 100 peratus. Pencapaian murid terbanyak yang meraih 3A hingga 6A direkodkan di daerah Kinabatangan dengan jumlah 58 orang terma­suklah dari empat sekolah yang cemerlang iaitu SK Tundun Bohangin, SK Sri Ganda, SK Sapagaya dan SK Abai. Prestasi sekolah di kawasan pedalaman juga membanggakan terutama di daerah Sipitang apabila 21 calon meraih keputusan 3A hingga 6A dan tiga buah sekolah, 

SK Kebawang, SK Ulu Bole dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Sin Boon Sindumin mencatat­kan kelulusan 100 peratus. Empat sekolah dari daerah Sook dan Nabawan, SK Binowou Tengah, SK Kawakan, SK Simbuan dan SK Tulid tersenarai dalam 10 sekolah terbaik bagi kawasan pedalaman. Impak penggunaan Tutor turut melonjakkan SK Binanon dan SK Pohon Batu yang mencatatkan peningkatan keputusan Gred Purata Sekolah (GPS) lebih baik berbanding tahun sebelumnya. 

Secara keseluruhan, sebanyak 333 sekolah rendah dan menengah di Sabah menggunakan 425,000 naskhah Tutor tahun ini. Sekolah-sekolah di Sabah yang ingin melanggan Tutor boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Eksekutif Jualan Utusan Malaysia, Celestina Ubing di talian 012 8020261. 

SAUDARA PENGARANG, KEPUTUSAN Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk tahun ini telah diketahui selepas diumumkan pada 17 November lalu. Untuk UPSR kali ini, hanya 1.11 peratus atau 4,896 daripada 452,721 calon mendapat semua A dalam enam mata pelajaran. 

Murid-murid yang berjaya memperoleh keputusan 6A ini memang hebat dan menakjubkan. Untuk rekod, jumlah calon UPSR yang mendapat semua A pada tahun lalu adalah sebanyak 38,344 orang dan jika dibandingkan dengan pencapaian tahun ini, penurunan bilangannya jelas ketara. 

Cuma apa yang saya hendak sentuh dalam FORUM Utusan Malaysia adalah mengenai harapan ibu bapa untuk melihat anak-anak mereka mendapat semua A dalam UPSR tahun ini tidak kesampaian. Lazimnya, apabila masuk sahaja tahun peperiksaan seperti UPSR sebahagian besar ibu bapa sanggup berbelanja lebih untuk menghantar anak-anak mereka ke kelas tuisyen sebagai persediaan menghadapi peperiksaan tersebut. Namun, apabila keluar keputusan ada kalanya tidak memihak kepada anak-anak kita. Keputusan yang diperoleh tidak seperti yang diharapkan. Selain calon, antara pihak yang benar-benar kecewa sudah pasti dalam kalangan ibu bapa. Seperti biasa, murid-murid yang gagal mendapat keputusan cemerlang (semua A) akan diberikan kata-kata motivasi terutama daripada ibu bapa. 

Bagaimanapun, tidak kurang juga terdapat ibu bapa yang bertindak memperlekehkan anak-anak mereka disebabkan kegagalan tersebut. Seharusnya, keadaan seperti itu tidak berlaku kerana tempoh pembelajaran kanak-kanak berkenaan masih panjang. Sebab itu, ada benarnya mereka yang mengeluarkan kata-kata: “Tidak mendapat 6A sekarang bukanlah rugi, masih banyak masa lagi untuk memperbaiki keadaan.” Yang pasti, sama ada berjaya atau tidak dalam UPSR kali ini, murid-murid masih mempunyai ruang dan masa untuk memperbaiki pencapaian khususnya untuk peperiksaan awam akan datang. Selepas ini, mereka akan menduduki Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan kemudian, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ingatlah, UPSR bukanlah penamat untuk segala-galanya. Tidak semestinya murid-murid yang gagal mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu tidak akan berjaya dalam peperiksaan awam akan datang. Gagal mendapat gred terbaik bukanlah sesuatu yang paling teruk dalam kehidupan. Jadikan kegagalan ini sebagai penguat semangat untuk lebih berjaya pada masa akan datang. Pada tahun depan, murid-murid tersebut akan ke sekolah menengah dan di peringkat itu setiap daripada mereka dituntut supaya membuat persediaan rapi kerana sukatan pelajaran untuk peperiksaan PT3 lebih mencabar. 


Hakikatnya, anak-anak tetap kanak-kanak dan sebagai ibu bapa, kita harus memberitahu mereka satu perkara mudah iaitu yang lepas usahlah dikenang. Lihat sahaja ke hadapan demi mengharungi masa depan dengan lebih jaya. Dalam hal ini, peranan ibu bapa amat penting terutama untuk mengembalikan semangat mereka untuk terus belajar. Jangan terlalu memberi tekanan kepada anak-anak disebabkan gagal mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR, baru-baru ini. Bagi saya pendidikan menyeluruh adalah lebih penting. 

Pendidikan ini merangkumi semua perkara yang berkaitan dengan kehidupan seseorang pelajar. Selain akademik, mereka perlu terlibat dengan aktiviti sukan dan persatuan. Mereka juga perlu diajar tentang akhlak mulia dan nilai moral yang tinggi. Hasil daripada pembabitan dalam bidang kokurikulum di samping mempunyai akhlak yang mulia serta tahap akademik yang baik, sudah tentu pelajar yang bakal dilahirkan lebih seimbang dalam segenap aspek. 

Dengan kata lain, hanya bergantung kepada keputusan peperiksaan semata-mata adalah tidak mencukupi apatah lagi ini hanya di peringkat UPSR. Walau apa pun pencapaian yang diperoleh, kita sewajarnya memberikan ucapan syabas kepada semua murid yang telah menduduki UPSR berikutan standard dan kualiti peperiksaan itu yang semakin tinggi. Jangan perlekehkan mereka, sebaliknya bantulah murid-murid terbabit untuk menempa lebih banyak kejayaan dalam peperiksaan awam akan datang. 

AZIZI AHMAD 
Segambut Luar, Kuala Lumpur 

Author Name

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.